Friday, October 2, 2015

Eid Ghadir Khum

Ghadir Khum
Antara Hakkaniyah dan Maqbuliyah

 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلامَ دِيناً 
. ( سورة المائدة :3 )
“hari ini Aku telah menyempurnakan untuk kalian agama kalian dan Aku telah melengkapkan ke atas kalian nikmatKu dan Aku telah ridha Islam sebagai agama untuk kalian” ( Al Maidah 3 )
Ayat di atas mengisyarahkan peristiwa penting berlaku pada ‘hari’ ( Al Yaum ):
Kesempurnaan agama
Dilengkapkan nikmat
Allah meredhai Islam sebagai agama
Di sini muncul beberapa pertanyaan: apa makna disempurnakan, apa makna dilengkapkan dan apa makna ridha?  Tetapi yang lebih penting dari itu adalah memahami erti Agama dan Islam terlebih dahulu.  Apa bila kita kembali melihat di dalam Al Quran, kita akan dapati bahawa satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah hanya Islam.
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللهِ الإِسْلامُ ... وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلامِ دِيناً فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam… Sesiapa yang mengikuti agama selain Islam, tidak akan diterima darinya dan ia di ahkirat termasuk dari mereka yang rugi” ( Ali Imran 85 ).

Nabi Ibrahim as berdoa setelah mendirikan Kaabah bersama dengan puteranya Ismail :
رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ
“Tuhan kami, Jadikan kami Muslim untuk Mu dan dari zuriah kami, umat yang muslim untuk Mu” ( Al Baqarah 128 )

Islam adalah agama yang datang dari Allah dan Allah adalah Kesempurnaan Mutlak.  Maka agama yang datang dariNya dan satu-satunya agama yang diterimaNya dan juga merupakan agama yang membawa manusia kepada kesempurnaan.  Dengan ini Islam memenuhi penantian manusia baik dari sudut keperluan mahupun harapan.  Islam sebagai agama yang sempurna dari seluruh sudut.  Kesempurnaan ini bukan hanya kepada isi ajaran tetapi termasuk pembawa dari ajaran yang mendapat mandat Ilahi.
لَقَدْ مَنَّ اللهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولاً مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ 
“sesungguhnya Allah telah memberi nikmat besar ke atas orang-orang mukmin ketika di angkat dari mereka mereka seorang Rasul dari diri-diri  mereka, membacakan ke atas mereka ayat-ayat Allah dan  mensucikan mereka dan mengajar mereka kitab dan hikmah, dan sesungguhnya mereka sebelumnya berada di dalam kesesatan yang nyata” ( Ali Imran 164 )

Di dalam ayat mengisyarahkan tasawur kulli/gambaran keseluruhan Islam dengan beberapa hal :
Di utusnya Rasul
Di turunkan Kitab/ayat-ayat Allah
Tugas-tugas Rasul, iaitu :
Membaca / menyampaikan ayat-ayat Allah
Mensucikan
Mengajar ilmu dan hikmah
Mengeluarkan manusia dari kesesatan untuk menuju kepada Allah
Namun pada awal ayat Allah menfirmankan bahawa nikmat teragung yang Allah berikan kepada manusia adalah ketika Dia mengutuskan Rasul.  Maka dengan itu keberadaan Rasul itu sendiri adalah nikmat dan yang menyempurnakan Agama.  Tanpa ada Rasul, Agama akan menjadi pincang.  Hal ini juga dapat difahami dengan ayat-ayat lain di dalam Al Quran Al Karim.

الر. كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
“ Alif Lam Ra.  Kitab yang kami turunkan kepadamu untuk kau keluarkan manusia dari kegelapan kepada nur dengan izin Tuhan mereka hingga mereka menuju kepada Jalan Yang  Mulia lagi Maha Terpuji” ( Ibrahim, 1 )

وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيداً عَلَيْهِمْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيداً عَلَى هَؤُلاءِ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَاناً لِكُلِّ شئ وَهُدىً وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ 
“ Dan hari kami utuskan pada setiap umat shahid / saksi ke atas mereka dari diri mereka sendiri dan Kami datangkan kepada kamu saksi ke atas mereka dan Kami turunkan kepadamu kitab yang menerangkan setiap sesuatu dan sebagai hidayah, Rahmah dan kegembiraan untuk orang-orang muslim”  ( An Nahl, 89 ).

Dari ini kita memahami bahawa keberadaan Rasulullah merupakan melengkapkan dan menyempurnakan Islam.  Sekarang ini persoalan tentang ayat 3 surah Al Maidah, apa yang dimaksudkan dengan Firman Allah, Allah menyempurnakan Agama, melengkapkan Nikmat dan redhai Islam sebagai Agama.  Sudah tentu ia memberi makna yang berbeza dengan diutusnya Rasulullah dan syariat kerana surah Al Maidah adalah antara surah yang terahkir yang diturunkan.  Ini bererti sesuatu di luar kerasulan dan Syariat.  Berdasarkan kepada ayat-ayat hikmah diutusnya Nabi dan Rasul, kita dapat memahami bahawa sesuatu itu adalah pengemban/penyambung tugas para Nabi dan Rasul walau tanpa gelar Nabi dan Rasul.  Islam perlu kekal berada dalam bentuk Muhammadi setelah Rasulullah hingga akhir zaman di bawah kepimpinan Sahibuzaman AJ. 

Penyerahan ini perlu bermula pada zaman hidup Rasulullah SAAW.  Berdasarkan nas-nas yang mutawatir, Rasulullah dari awal tablighnya telah menunjukkan bahawa kepimpinan selepas beliau adalah hak Imam Ali bin Abi Talib as serta 11 orang Imam dari zuriahnya.  Ayat 3 dari surah Al Maidah mengisyarahkan tentang peristiwa Al Ghadir dengan lebih dari 90 sahabat yang meriwayatkannya.  Penyataan dan diklerasi Ghadir bermula dengan Rasulullah menyampaikan khutabahnya dan membaca ayat :
النبي أولى بالمؤمنين من أنفسهم
“Nabi lebih berhak kepada orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri”
Ayat ini menegaskan hak Rasulullah dari Allah ke atas diri orang-orang mukmin. Ini adalah hakkaniyah mutlak Rasulullah SAAW.  Yang menganugerahkannya adalah Allah SWT. Ini adalah perintah mutlak Allah kepada orang-orang yang beriman untuk menyerahkan jiwa dan raga mereka dalam mentaati Rasulullah SAAW.  Setelah itu Rasulullah bertanya kepada yang hadir di Al Ghadir.
ألستُ أولى بالمؤمنين من أنفسهم؟ قالوا: بلى.
‘Apakah aku tidak lebih berhak kepada orang mukmin lebih dari diri mereka sendiri?, yang hadir sepontan menjawab, sudah tentu’
Jawapan ini menunjukkan ‘maqbuliyah’ penerimaan mutlak mukminin bahawa Rasulullah lebih berhak ke atas diri mereka.  Ini juga mengisyarahkan bahawa mereka mutlak akan taat kepada perintah Rasulullah SAAW.   Setelah itu Rasulullah meneruskan :
من كنتُ مولاه فعليٌّ مولاه
‘sesiapa yang menganggap aku sebagai maulanya/pemimpinnyya, maka Ali adalah Maulanya’

Di Ghadir Khum Rasulullah sekali mendeklarasikan hakkaniyah Amirul Mukminin dan menuntut maqbuliyyah dari yang hadir.  Yang pertama bangun untuk menyatakan maqbuliyyah adalah khalifah yang kedua.
بخٍ بخٍ لك يا أبا الحسن أصبحت مولايَ ومولى كل مسلم ومسلمة». ( النهاية لابن كثير:7 /386 ).
Taniah taniah wahai Abal Hassan, kamu telah menjadi maulaku dan maula kesemua muslim dan muslimat.

Selama tiga hari mereka berkampung di Ghadir Khum untuk melakukan baiah ‘maqbuliyyah’ kepimpinan Amirul Mukminin as. 

Setelah kewafatan Rasulullah, kudeta Saqifah telah menafikan maqbuliyah ini walau hakkaniyah tetap bersama dengan Amirul Mukminin as.  Selama 23 tahun Amirul Mukminin as mengasingkan diri hingga semua penduduk Madinah datang meminta beliau menerima kedudukan khalifah.  Amirul Mukminin as tidak langsung menerima pemintaan mereka, hingga mereka mendatangi beliau berkali-kali dan Amirul Mukminin as mensyaratkan baiah tersebut mesti dilakukan di Mesjid Nabawi.  Hal yang pertama yang dilakukan oleh Amirul Mukminin as adalah meminta penyaksian ahli Badar tentang baiah Ghadir Khum.  Dengan Baiah tersebut Amirul Mukminin as dapat menjalankan pemerintahan adil Ilahi dan menghidupkan sunnah nabawi.  Ini kerana selain memiliki hakkaniyah, beliau didukung dengan maqbuliyah/penerimaan masyarakat.

Hal ini juga berlaku kepada Imam-imam selepas beliau.  Mereka semua memiliki hak dari Allah tetapi kerana tidak mendapat maqbuliyah maka mereka tidak dapat melaksanakan pemerintahan adil Ilahi.  Dan ini juga merupakan antara hikmah gaibah Sahibuzam AJ hingga masyarakat dunia siap untuk menerima kehadiran dan kepimpinannya.

No comments:

Post a Comment